Thursday, February 17, 2011

JANGAN BERSEDIH.....


Hidup ini tidak selalunya indah. Seringkali kita diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan. Ada kalanya kita terjatuh. Ada masanya kita terluka. Ada masanya kita di bawah. Ada waktunya juga kita menangis. Ada masanya kita kecewa dan hampa. Ada waktunya kita merana dan sengsara. Bagaimanakah kita saat kita diuji? Periksa hati kita..


"Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. "


[Surah Al-Hajj : Ayat 11]


Allah tidak akan menguji hamba-Nya jika hamba itu tidak, mampu menanggung ujian tersebut,

solat itu penenang jiwa,al-Quran itu penerang jiwa, dan zikrullah itu pelembut hati, bila ditimpa kesusahan kembalilah kepada-Nya, kerana ujian yang Allah bagi itu pasti ada hikmahnya,
sama ada untuk diberi pahala,penghapus dosa atau ditingkatkan darjat seseorang hamba itu.


Setiap kesusahan adalah ujian.. mungkin ini masa terbaik kita bermuhasabah kembali. Ada ketika kita tewas memahami dan mengenali diri kita. Bila datang ujian samada berbentuk harta atau kehidupan.... ada sesuatu Allah hendak peringatkan kita. Perlu kita buka hati untuk menerima segala silap dan kelemahan yang datang. Beruntung bagi mereka yang diuji...kerana, bilamana kita sering hidup dengan kemewahan atau kelapangan, hati insan pasti ada masanya, leka dan sakit.



Cara terbaik, duduk...dan merenung kembali mengapa ujian itu diturunkan. Apakah kita semakin taqarrub padanya dan mampu menyingkap hijab diri kita-antara sifat mazmumah & mahmudah atau sedar & alpa. Pastinya setiap yang dijadikanNya ada hikmah (pelajaran & peringatan) yang tidak sekali sia-sia. Sememangnya beberapa sifat diperlukan dalam menangi masalah yang membawa kepada kelanjutan masalah atau dugaan ini adalah sabar, redha, syukur & tawakal.



Jangan bersedih..kekasih pilihan Allah akan dihadiahi dugaan hebat tanda kasihNya, jalannya dihiasi duri-duri luka..tidak dibiarkan lena dalam nikmat yang melimpah tetapi dihidangkan keperitan susah payah yang tiada sudah.
Segala benda dalam dunia ni adalah ujian kepada kita semua. Tidak kira musibah, kesenangan, dan segalanya adalah ujian daripada Allah. Jika ditimpa kesusahan, Allah mahu menguji sejauh mana kesabaran kita menghadapinya. Jika ditimpa kesenangan dan kejayaan, Allah mahu menguji sejauh mana tahap kesyukuran kita kepadaNya. Jadi, semuanya adalah ujian daripada Allah.


Sebab tu, Allah berikan kita akal fikiran untuk kita berfikir segala apa yang berlaku. Semuanya akan ada hikmah yang tersembunyi. Tinggalnya, samaada kita percaya ataupun tidak sahaja.



"Harus ada rasa bersyukur, Di setiap kali ujian menjelma,

Itu jelasnya membuktikan, Allah mengasihimu setiap masa,
Diuji tahap keimanan, Sedangkan ramai terbiar dilalaikan,
Hanya yang terpilih sahaja, Antara yang berjuta mendapat rahmatNya,
Allah rindu mendengarkan, Rintihanmu berpanjangan,
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi, Segala ujian diberi,
Maka bersyukurlah selalu.."

RENUNGAN BERSAMA.....

Monday, February 14, 2011

Ku Gugurkan CINTA kerana ALLAH...

Menerima sms tanpa diundang yang sengaja memenuhkan inbox pesanan handset lewat 2 hari yang lalu, sedikit sebanyak membuatkan aku terganggu.
“Khabar apakah Umar di sana? Semoga hidupmu sentiasa dalam keberkatanNya. Maaf, kiranya sms ini menggangu. Masih ingatkah Umar pada Husna?”
Husna, mana mungkin nama itu padam dalam diari hatiku ini. Nama yang menyepi hampir 3 tahun yang lepas seusia dengan tahun pengajianku di sini. Nama yang mencatatkan kelukaan pada hati ini. Nama yang mengukir kenangan manis, tatkala menerima balasan pertama kali untuk mendekati gadis ini ketika di tingkatan 4, Maahad Johor. Namun, khabar yang kuterima di pertengahan semester pengajian untuk mengambil peperiksaan STAM membuatkan aku terkedu. Lantas ku atur langkah menuju ke kota raya, cuba untuk mencari ketenangan bagi kelukaan ini.
“Umar, maafkan Husna. Husna masih menyayangi Umar. Perasaan Husna masih segar seperti 5 tahun yang lepas…”
Aku tersenyum membaca sms yang ke 2. Senyum yang aku sendiri tidak pasti apa maksudnya. Mungkin aku mendabik bahawa aku menang! Dia kembali kepadaku, seperti yang pernah dilafazkan oleh teman akrabku, jika hatiku benar-benar mengasihinya dia pasti akan kembali padaku. Benar teman, kini dia kembali!

“Lelaki yang soleh takkan mengalah hanya kerana cinta seorang perempuan…”
Ya aduhai, kata-kata yang membuatkan darahku tersirap. Pedih! Nak nak ia dilafazkan oleh seorang perempuan. Cis, bengang sungguh ketika itu. Disapa oleh seorang sepupu yang ku kira paling “bengkeng” dan sombong. Jarang benar mencernakan senyuman. Hanya wajah selamba yang dipamerkan.
Ini semua, Angah punya pasal. Dicanangkan seluruh famili ketika syura keluarga akhir bulan itu. Malu sangat. Mahu rasanya ditukar Angah menjadi katak yang paling hodoh!

“Belajar di Maahad untuk menjadi pencinta manusia yang lemah ker? Rugi Ayah Chik menghantar awak belajar di sana.”

Sibuk sungguh kau perempuan. Hatiku yang parah ini kau simbah dengan limau nipis. Memang kau perempuan yang tidak mengerti. Tiada daya lagi untuk kumenjawab setiap peluru bicara yang dihamburkan oleh gadis berwatak serius itu. Ya kau menang?! Akurkah aku dengan setiap patah-patah kata yang begitu melukakan hati… tapi sukar untuk kunafikan kerana maujud kebenaran dalam senjata bicara itu… benar aku insan dhaif yang lemah.. lemah dengan cinta manusia yang sia-sia… aku tertunduk lesu.

“Awak sekadar mengejar cinta yang tidak pasti akan kejayaannya. Dia juga manusia yang lemah sama seperti awak, ciptaan daripada hinanya air mani. Mengapa perlu dikejar cinta daripada insan yang hanya mengerti makna keseronokan semata-mata. “
“Tidak salah jika saya mengatakan cinta yang awak dambakan itu adalah salah satu daripada acuan lagenda agung kononnya, Romeo Juliet, Laila Majnun. Apa kurangkah lagenda cinta Islam untuk awak jadikan role model?”
“Apa kurangkah kisah-kisah cinta Islam yang mampu awak lihat dan ambil iktibar. Atau awak yang sengaja membutakan mata dan hati?! Takkan ada yang mencebik andai cinta yang awak kejar seagung cintanya Rabiatul Adawiyah, seteguh kalimah syahadah Bilal Rabah dan seindah kasihnya Handzalah,”

Bisa benar kata-kata daripada mulut mungil itu. Aku dikatakan buta mata dan hati?! Benarkah telahan gadis itu? Hai, bukan awak yang merasa pedihnya hati ini, mudah benar membuat rumusan yang tidak adil itu, cuba kena pada batang hidung sendiri, mahu meraung.
”Benar, yang merasa semua kepedihan itu hanyalah awak. Kami yang memandang rasa serabut tengok keadaan awak. Konon-konon cita untuk berjuang di medan sampai jihad nun di Palestin katanya, tapi baru dijengah mehnah sebesar zarah ini, sudah mahu tumbang… Aduhai lelaki, kau bukan calon soleh untuk bercita-cita menagih syahid di medan sana,”

Bulat mataku memandang wajah mulus bertudung labuh itu. Sapaannya di rembang itu ketika berselisih di dapur rumah opah menyemarakkan lagi khutbahnya. Aku hanya memandang. Ingin aku membalas tapi memandangkan Angah yang tersengih di sebelahnya, aku memujuk diri supaya menerima sahaja hemburan kata-kata itu.

”Berapa lama kau mengenali perempuan itu? Pastinya tidak selama kau mengenali penciptaMu, benar bukan?! Cinta yang kau sendiri tidak pasti arah tujuan itu, benar-benar telah berjaya menumbangkan semangat juangmu kepada dunia. Cinta duniawi itu telah berjaya!,”
Aku mencebik dan tersenyum sinis.

”Kau tidak percaya?! Lihat sahaja dirimu itu, mengalahkan ayam mati bini,”

Mungkin! Aku mengiyakan walaupun hanya di dalam hati akan kebenaran kata-kata itu. Melihat keadaan aku, memang sah lah seolah-olah menunggu masa untuk dimasukkan ke dalam wad gila. Bertahun aku menganyam kasih bersama Husna, akhirnya aku ditinggalkan setelah aku menyerahkan seluruh kepercayaan aku padanya. Alasan yang cukup pasif, pada bicaraku. Menerima calon yang diusulkan oleh keluarganya. Sukar untuk aku menerima hakikat itu. Dan, inilah habuan yang aku terima. Pelajaran entah ke mana, kehidupan yang tidak terurus. STAM, bakal menyapa tidak kurang daripada 2 bulan lagi. Dan aku tidak menjanjikan bahawa sebarang kejayaan bakal ku raih pada keluargaku.

”Kau terlalu naif?!,”

Aku tersentak, benarkah?

”Lihatlah wajah-wajah babahmu, umimu dan lihatlah dengan mata hatimu, ISLAM! Golongan sepertimu adalah yang paling disukai oleh musuh-musih Islam. Lihatlah kebenaran, musuh-musuh Islam tidak pernah takutkan senjata kita, tetapi mereka cukup takutkan semangat jihad yang ada pada kita, ORANG ISLAM. Tapi, lihatlah jihadmu sudah terkulai layu.. Kau takkan mampu menentang mereka, sebab kau tidak mampu menentang jihad nafsumu dalam dirimu,”

Mendatar kalimah itu.

”Dimanakah peganganmu selama ini? Dimana alunan Kalamullah itu? Sudah lama benar aku tidak mendengar suaramu memuji Kalam Allah itu. Kau berpotensi untuk menjadi calon soleh untuk dirimu, keluargamu, dan agamamu. Perhatikanlah Allah tidak pernah menyediakan sepahit-pahit ubat kepada makhlukNya melainkan ubat itu menjanjikan satu kenikmatan kesihatan pada jiwamu yang takkan kau temui jika kau masih menutup mata hatimu,”
Aku meneliti bait-bait yang terlontar.

”Aku tidak menafikan manusia itu tidak memerlukan cinta, sebab cinta itu kurniaan yang nian indah oleh Allah. Tapi, jangan rosakkan cinta itu dengan kelalaian hatimu dalam mempertimbangkan antara yang abadi dan bersifat sementara. Cinta manusia hanya sementara, jadikanlah ia penyuluh untuk dirimu meraih syurga Allah. Takkan kau temui cinta hakiki, selagi kau tidak membuka mata hatimu untuk mencari cinta abadi yang telah wujud dalam dirimu sedari azali,”

”Aku takkan sedih jika kau kecewa dengan hatimu yang tidak kuat menyintai Allah kerana kau takut untuk mendapatkan cinta itu kerana kau tahu siapa dirimu yang sebenarnya untuk meraih cinta Allah yang ternyata ramai berebut untuk mendapatkannya,”
Dia melepaskan satu keluhan.
”Tapi aku terlalu sedih, kau hanya lemah hanya kerana cinta manusia biasa. Tidak terbanding dengan cinta yang terlalu agung itu. Kau terlalu lemah… sebab hatimu terlalu lemah untuk membuka mata hatimu melihat kepastian cinta yang sebenarnya,”

Pengakhiran ceramah cinta itu, dia berlalu tanpa memandang wajahku. Angah ku lihat menitiskan air mata. Kenapa? Terbit persoalan itu.

”Jangan biarkan hati itu sunyi tanpa cinta Allah,”

Terluncur kata-kata daripada Angah yang tidak pernah aku jangka kan. Malam itu, lama aku bermunajat dan berteleku di atas sejadah. Qalam mulia itu kembali intim di bibir, tidak sekadar hanya merenung seperti kebiasaanya. Malam itu menyaksikan air mata lelaki ku, tumpah jua akhirnya, biarpun ia bukan yang pertama. Tapi, kali ini ia tumpah pada yang berhak. Menangisi kepasifan diri ini. ..
Serasanya itulah kali pertama aku merasakan akulah insan yang terlalu bodoh. Mendamba cinta yang hanya memberikan aku kesakitan. Tapi, Dia masih menyayangi diriku ini. Dikirimkan seorang insan untuk menegur kealpaanku. Dialah yang menyedarkan aku. Tapi, aku tahu ucapan terima kasih itu takkan dia terima sebaliknya dia pasti akan menyuruh aku menyampaikan ucapan terima kasih ku pada yang jauh lebih berhak.. pada Allah.
Benar, kata-katamu itu terlalu benar. Itulah kisah tiga tahun lepas. Kini, aku sudah mampu tersenyum. Tersenyum kerana aku sebenarnya sedang cuba untuk meraih ciri-ciri calon soleh yang pernah singgah di pendengaranku ini. Dan aku takkan berputus asa, takkan malu memohon padaNya moga akulah calon soleh untuk meraih cintaNya yang abadi.
Kepada sepupuku, Mardhiahtul Aliah… terima kasih atas sindiran sinismu itu. Terlalu pahit, tapi buah kemanisan iman itu sudah kutemui. Husna, juga ucapan terima kasih. Kerana jika dia tidak memutuskan hubungan itu, pasti aku takkan mengenal hakikat diri.
Sms Husna ku balas…

”Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, tapi jangan biar aqal sunyi tanpa ilmu dan jangan biar hati sunyi tanpa cinta kepada Allah SWT,”

Hatiku Untuk Siapa????

Saya bertanya kepada emak, mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang?

Mak jawab, kedua-duanya bukan..

Saya tercengang.. Mak mengukir senyuman.

Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.. Saya menarik nafas dalam-dalam.

Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa? Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya, mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya.

Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.. Yang paling tahu hanya Allah.. mak merenung dalam-dalam wajah anaknya. Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya..mak menyusun ayat-ayatnya. Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu..

Saya memintas, Tak faham..

Mak menyambung Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.. Mak menyambung lagi, begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu..Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung, Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi.. Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu? mak berhenti
seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.

Secret Admire
Kakak, mak dulu masa besar ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat..Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh. . Lama budak tu tunggu mak.. Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima
balasan cinta tu. Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke? saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil. Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu..
Mak takut pada Allah...
Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. Mak, seperti kakak..mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazah nya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni
yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada
sesiapa yang mendorong..
Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung.
Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.. emak melemparkan pandangan ke lantai. Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.. sambung emak. Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak?
Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung
sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak..mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.

Adakah ia suatu diskriminasi?

Kakak..
Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai..
Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin.. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya..
Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan, Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah
menzalimi hambaNya..
Sesungguh nya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnyam hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak
semestinya memilikinya.

Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang
perempuan.
Cuba kakak renungkan..
kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. Perbezaannya, dia
halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi
seperti yang awalnya. emak berhenti seketika..

Bukan luar biasa

Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini. Kakak..
jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia.
Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri
berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata. .



Kakak..
Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. . Hanya Allah yang boleh memegangnya. . Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya
bercinta.
Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pengalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti.

Redha

Kakak..
Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan
hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing.
Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya
hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.

Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat.
Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah..

Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah
untuk Dia pelihara..Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak
dan air mata yang mengalir ke bahu saya.

diambil dari sini http://upi.iskandariah.perubatan.org/2010/04/hatimu-untuk-siapa.html